Kuala Lumpur: Kedudukan Malaysia sebagai lokasi pusat data paling pesat berkembang di Asia Tenggara tidak hanya mendorong kepada pertumbuhan ekonomi digital, malah menjadi pemangkin dalam transisi negara arah penggunaan tenaga boleh baharu (TBB).
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Jasrul Jamani Jamian, berkata dengan kehadiran pemain pusat data di Malaysia, ini secara langsung membantu kerajaan mengoptimumkan kapasiti penjana elektrik yang ada di Malaysia.
Pada masa sama, katanya, aspek itu turut menjadi pendorong dalam merealisasikan usaha kerajaan ke arah penjanaan TBB sehingga 70 peratus atau 56 gigawatt (GW) dalam sektor tenaga menjelang 2050.
Bagi tempoh 2021 hingga 2023, Malaysia meluluskan pelaburan dalam pusat data dan perkhidmatan awam berjumlah RM114.7 billion.
Moody Rating's sebelum ini dilaporkan menjangkakan keperluan tenaga elektrik untuk pusat data di Malaysia meningkat dua kali ganda kepada kira-kira 500 megawatt (MW) dalam tempoh dua tahun akan datang.
"Memang sudah tiba untuk penjana elektrik yang menggunakan sumber asli seperti arang batu dan gas, terutama sudah beroperasi selama 25 hingga 30 tahun digantikan dengan TBB yang lebih berkesan dan mesra alam," katanya baru-baru ini.
Beliau berkata, penjana elektrik yang sudah lama dan beroperasi pada kecekapan rendah menjadikan usaha peralihan kepada TBB satu keperluan yang signifikan.
"Oleh itu, sebenarnya kerajaan sudah dalam tindakan ke arah itu, termasuk pelaksanaan program Solar Skala Besar (LSS5) dan akan datang LSS6," katanya.
Jasrul Jamani berkata, di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan kehadiran TBB yang tinggi, negara akan memerlukan tempat simpanan tenaga yang besar untuk memastikan tenaga TBB dapat dihantar dengan stabil.
Katanya, Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) skala utiliti adalah teknologi terkini yang sedang berkembang selari dengan peningkatan kapasiti TBB.
Beliau berkata, BESS dapat memastikan pengoperasian pusat data tidak berputus sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan tenaga.
Jasrul Jamani berkata, BESS juga mampu membantu pihak pusat data mengurangkan kos bil elektrik dengan menyimpan tenaga pada waktu luar puncak dan menggunakannya pada waktu puncak.
"Justeru, perkembangan pusat data di Malaysia adalah seiring dengan langkah perubahan tenaga negara daripada penjana elektrik konvensional kepada TBB," katanya.
Sementara itu, katanya, kehadiran pusat data ke Malaysia secara langsung memberi perolehan pendapatan yang baik kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) memandangkan industri bekenaan memerlukan sumber elektrik yang tinggi dan berterusan.
"Tahap kestabilan dan kemampuan sistem TNB sangat baik untuk memenuhi keperluan pengguna, termasuk pusat data bersandarkan unjuran kadar rizab margin tenaga di Semenanjung bagi 2024 hingga 2030, iaitu antara 28 hingga 36 peratus.
"Mungkin ada yang terfikir, bila kita ada banyak pusat data yang menggunakan sumber tenaga elektrik yang tinggi, TNB perlu bina loji tenaga baharu. Sebenarnya tidak seperti itu.
"Memandangkan kita mempunyai lebihan kapasiti dan kadar rizab margin yang tinggi, oleh itu, kedatangan pusat data ini sebenarnya adalah satu perniagaan yang baik kepada TNB.
"Tiada isu mengenai kebolehan kepercayaan dan kestabilan grid mungkin terjejas memandangkan pembangunan pusat data dan TNB mempunyai kapasiti menampung permintaan tinggi dari pusat data," katanya.
BERNAMA
